Johor Bahru: Polis Johor mengesahkan hanya seorang remaja, bukan 23 yang didakwa hilang di sebuah banglo usang di Jalan Skudai, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, berkata pihaknya hanya menerima satu laporan jam 1 pagi kelmarin, berhubung kehilangan remaja berusia 16 tahun itu.

  “Laporan dibuat ibu mangsa selepas dimaklumkan oleh rakan anaknya itu yang mangsa masuk kawasan villa tinggal berkenaan.

Jika benar dakwaan terdapat puluhan individu hilang di villa terbabit, keluarga atau waris mereka diminta membuat laporan polis untuk siasatan” Abdul Samad Salleh, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan

“Sejurus mendapat laporan itu, polis bersama Unit Anjing Pengesan dan bomba menyiasat lokasi terbabit, namun sehingga kini masih tidak menemui remaja itu,” katanya.

Usah sebar maklumat tak sahih

Abdul Samad berkata, jika benar dakwaan terdapat puluhan individu hilang di villa terbabit, keluarga atau waris mereka diminta membuat laporan polis untuk siasatan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan berita dan maklumat tidak sahih selain mendapatkan pengesahan polis terlebih dulu sebelum buat kenyataan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abdul Mutalip Abd Rahim, mengingatkan orang ramai agar tidak terikut budaya Barat yang gemar melakukan aktiviti paranormal.

“Jika mereka (bukan Islam) melakukan aktiviti itu, mungkin hasil penemuan mereka boleh menjurus kepada mendapat hidayah daripada Allah, sebaliknya jika dilakukan umat Islam, ia dikhuatiri mengundang kekufuran.

“Nabi pernah bersabda, mengingatkan agar tidak perlu bercita-cita bertemu musuh Allah termasuk syaitan dan jin. Banyak perkara lain yang kita boleh buat iaitu mencari rezeki dan keredaan Allah,” katanya.