Monday 9 December 2013

'Menang penting, bukan gol'

Nay Pyi Taw: Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu terlalu dibebani harapan untuk menyamai atau melebihi kemenangan dicatat Vietnam yang membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A, kelmarin.

Mengambil kira permulaan Sukan SEA 2011 di Jakarta apabila skuadnya sekadar seri 0-0 dengan Singapura, Kim Swee mahu anak buahnya fokus memburu tiga mata penuh ke atas Brunei pada aksi pertama mereka di Stadium Zeyar Thiri, petang ini dan bukan memikirkan jumlah jaringan.


Sudah tentu kita mahu permulaan baik. Kita sedar, perlawanan pertama tidak kira berdepan pasukan mana sekali pun pasti menghadirkan kesukaran. Saya tak fikir kemenangan besar, yang mustahak tiga mata untuk keyakinan mengharungi baki tiga perlawanan.

Mengenai gol awal, Vietnam pun dapat gol pertama selepas minit ke-20 dan jika kedudukan masih 0-0 pada babak pertama, kami harus terus berusaha mendapatkan kemenangan, bukan tertekan memikirkan jumlah jaringan, kata Kim Swee ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Zeyar Thiri, petang semalam.

Agak lemah

Secara kebetulan, skuad negara turut bertemu Brunei pada aksi pembukaan Sukan SEA 2001 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dan meraih kemenangan besar 5-0 menerusi hatrik Akmal Rizal Rakhli dan masing-masing satu gol Indra Putra Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.

Ditanya adakah Vietnam terlalu kuat atau Brunei agak lemah berdasarkan kemenangan 7-0 kelmarin, Kim Swee berkata: "Kita kena faham, Brunei dah lama tak beraksi di pentas antarabangsa akibat digantung dan masih mencari rentak manakala Vietnam purata pemain yang sama sepanjang tiga tahun ini, pasti persefahaman sudah cukup baik.
Kim Swee turut masih merahsiakan gandingan serangan yang bakal dipertaruhkan, petang ini tetapi yakin sesi latihan 45 minit, petang semalam sudah memadai untuk dia menamakan kesebelasan utamanya dua jam sebelum perlawanan.

Keadaan banjir di Johor, Kelantan semakin pulih, Terengganu tidak berubah

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Johor dan Kelantan bertambah baik pagi ini, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan semakin berkurangan, namun keadaan di Terengganu tidak berubah. 

Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal 14,609 orang daripada 3,195 keluarga dengan Kemaman mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 13,336 daripada 2,852 keluarga, diikuti Dungun sebanyak 1,251 orang (235 keluarga) dan Marang 28 orang (lapan keluarga). 

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebanyak 41 pusat pemindahan iaitu 37 di Kemaman, tiga di Dungun dan satu di Marang masih beroperasi sehingga 9 pagi ini. 


Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu berada di bawah paras berjaga-jaga. 

Jabatan Kerja Raya pula melaporkan jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Batu 5 dekat Politeknik dan Bukit Bauk Dungun dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan berikutan hujan lebat sejak malam tadi. 

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 12,579 pagi ini berbanding 31,093 orang malam tadi. 

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 9 pagi ini masih terdapat 2,480 keluarga yang ditempatkan di 111 pusat pemindahan dari 96 penempatan di lapan daerah yang terjejas banjir. 
"Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 6,454 orang di 21 pusat pemindahan," katanya kepada BERNAMA, di sini, hari ini. 

Di Pekan, masih terdapat 3,408 mangsa di 36 pusat pemindahan, Temerloh 1,233 orang, Maran (724), Jerantut (433), Bera (267), Rompin (33) dan Lipis (27). 

Hanya satu jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kilometer 14 Jalan Temerloh-Triang. 

Di JOHOR, sebanyak tujuh pusat pemindahan banjir masih dibuka di Segamat pagi ini namun jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 273 orang daripada 64 keluarga berbanding 303 orang daripada 72 keluarga malam tadi. 

Pusat pemindahan itu ialah Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kampung Tandong, SK Kampung Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Balai Raya Kampung Gemereh III, Balai Raya Pogoh 2 dan Sekolah Agama Kampung Kuala Paya. - BERNAMA

Penduduk Kemaman sifatkan banjir kali ini `bagai tsunami kecil'

KEMAMAN: `Bagai tsunami kecil', itu anggapan penduduk Kemaman yang teruk dilanda banjir kali ini, ketika menghadapi saat air banjir yang naik begitu cepat dan mengalir deras melanda kediaman mereka beberapa hari lalu. 

Penduduk di Kampung Air Putih dan Kampung Telandas, kawasan paling teruk terjejas banjir, masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka, terutama ketika hujan lebat turun mencurah. 

Rohana Bakar, 52, dari Kampung Air Putih menyifatkan kejadian banjir tahun ini amat dahsyat kerana arus deras meranapkan beberapa buah rumah dan kedai di kampungnya. 




"Saya lihat sendiri air banjir yang mengalir deras melanda Kampung Air Putih ini, tidak ubah seperti tsunami yang pernah melanda negara suatu masa lalu, cuma kecil sedikit. 

"Sebahagian dinding warung milik saya antara yang hilang dibawa arus deras," katanya ketika ditemui Bernama di warungnya yang hampir roboh di sini. 

Rohana berkata ketika meredah air banjir perasaan takut masih menyelubunginya setelah melihat kereta serta beberapa peralatan lain terapung dihanyutkan air yang hampir menenggelamkan kampung mereka ketika bencana berlaku. 

Beliau sudah lebih 23 tahun berniaga di kawasan itu dan ketika berusaha menyelamatkan diri bersama   cucu lelakinya yang berusia 11 bulan, mereka nyaris lemas dibawa arus namun berjaya diselamatkan anggota keluarga yang lain.             
                     
"Masa itu jam 1 pagi, makcik dan keluarga mula pindah ke pejabat pos berhampiran rumah. Disebabkan air naik cepat dan arus deras, makcik guna tali dibawa ahli keluarga dan tersadung jatuh ke dalam arus," katanya. 

Seorang lagi mangsa banjir Syukri Ahmad, 40, berkata rumahnya musnah dihanyutkan arus deras banjir. 

Tetapi beliau lebih risaukan keselamatan isterinya yang mengandung lima bulan dan tiga anaknya yang berumur 3 hingga 11 tahun, dan sebab itu beliau segera memindahkan mereka ke kawasan selamat ketika air dilihat naik mendadak. 

"Lepas hantar isteri dan anak, saya pulang sendiri mahu mengemas barang. Masa sampai ke rumah, air sudah kira-kira setengah meter naik dan saya hanya kemas mana yang patut seperti dokumen penting sebelum bergegas meninggalkan kediaman ketika air naik ke paras dada. 

"Namun keesokan harinya ketika mahu meninjau keadaan rumah, rakan-rakan saya kata rumah pusaka yang saya duduki itu musnah dihanyutkan air dan saya betul-betul terkejut," kata Syukri. 

Beliau berkata kampung itu sering dilanda banjir namun tidaklah pernah seteruk kali ini sehingga beberapa buah rumah penduduk kampung lesap dibawa arus. 

Sementara itu, Norhayati Jusoh, 38, berkata beliau terpaksa memecah masuk Pejabat Pos dan tinggal di tingkat atas bangunan itu kerana tidak sempat untuk pergi ke pusat pemindahan banjir yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya. 

"Semua barang rosak dan wang tunai lebih RM10,000 hasil perniagaan jualan langsung turut hilang," katanya. 

Menurutnya, suasana di pejabat pos itu sangat menakutkan ketika itu, namun mereka terpaksa bertahan semalaman, sebelum air surut keesokannya. - BERNAMA 

PTPTN sumbang RM50,000 untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersetuju menyumbang RM50,000 untuk membantu mangsa banjir di Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebentar tadi berkata, sumbangan akan disalurkan melalui Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM). 
Foto