Remaja mengaku salah larikan dua kereta
 REMAJA berusia 17 tahun (tengah) yang menghadapi empat tuduhan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun, hari ini. - Foto Rosli Ilham
DUNGUN: Remaja yang melarikan dua kereta di Kuala Berang dan Dungun hingga terbabit kemalangan di Jalan Jerangau-Jabur, awal bulan ini, mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Kemaman itu, mengaku salah di depan Majistret Hazwanie Husin Bustari selepas empat pertuduhan dibacakan kepadanya.  

Bagi pertuduhan pertama yang dilakukan di daerah Hulu Terengganu, remaja terbabit dituduh pada 4 November 2013, kira-kira jam 5.50 petang di hentian Rehat dan Rawat (R&R) susur Ajil Hulu Terengganu mencuri kenderaan Grand Livina bernombor pendaftaran AGN 8861 warna hitam daripada Jarini Mohd Nawi,27, dan dengan itu didakwa mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan.


Dia juga dituduh melakukan kesalahan mengurung orang dengan salah dalam kereta yang sama terhadap Pirhat Karim, 34, Mastura Che Awang, 31, dan Muhammad Asyraf Ikhwan Pirhat, 11 bulan dan didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan di daerah Dungun, tertuduh juga pada 4 November jam 6 petang hingga jam 6.45 petang di jalan Jerangau-Jabur di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dituduh mencuri sebuah kereta PERODUA Myvi berwarna perak milik Nor Maizura Mustaffa Kamal yang dianggarkan bernilai RM40,000.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pertuduhan seterusnya pada tarikh sama melakukan kesalahan mengurung orang dengan salah di dalam sebuah kereta jenis yang sama iaitu penama Habibah Binti Teh, 50, Azrul Fazli Mustaffa Kamar,14, Nur Anisya Qistina Khairul Nazri,5 dan Muhammad Ariff Takumi Khairul Nazri, dua.
Dia dituduh mengikut Seksen 342 Kanun Keseksaan.

Hazwanie tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes 11 Disember 2013 di Mahkamah Hulu Terengganu dan 22 Disember 2013 di Mahkamah Dungun sementara menunggu fakta penuh laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta kehadiran perunding daripada JKM.