Monday 9 December 2013

Penduduk Kemaman sifatkan banjir kali ini `bagai tsunami kecil'

KEMAMAN: `Bagai tsunami kecil', itu anggapan penduduk Kemaman yang teruk dilanda banjir kali ini, ketika menghadapi saat air banjir yang naik begitu cepat dan mengalir deras melanda kediaman mereka beberapa hari lalu. 

Penduduk di Kampung Air Putih dan Kampung Telandas, kawasan paling teruk terjejas banjir, masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka, terutama ketika hujan lebat turun mencurah. 

Rohana Bakar, 52, dari Kampung Air Putih menyifatkan kejadian banjir tahun ini amat dahsyat kerana arus deras meranapkan beberapa buah rumah dan kedai di kampungnya. 




"Saya lihat sendiri air banjir yang mengalir deras melanda Kampung Air Putih ini, tidak ubah seperti tsunami yang pernah melanda negara suatu masa lalu, cuma kecil sedikit. 

"Sebahagian dinding warung milik saya antara yang hilang dibawa arus deras," katanya ketika ditemui Bernama di warungnya yang hampir roboh di sini. 

Rohana berkata ketika meredah air banjir perasaan takut masih menyelubunginya setelah melihat kereta serta beberapa peralatan lain terapung dihanyutkan air yang hampir menenggelamkan kampung mereka ketika bencana berlaku. 

Beliau sudah lebih 23 tahun berniaga di kawasan itu dan ketika berusaha menyelamatkan diri bersama   cucu lelakinya yang berusia 11 bulan, mereka nyaris lemas dibawa arus namun berjaya diselamatkan anggota keluarga yang lain.             
                     
"Masa itu jam 1 pagi, makcik dan keluarga mula pindah ke pejabat pos berhampiran rumah. Disebabkan air naik cepat dan arus deras, makcik guna tali dibawa ahli keluarga dan tersadung jatuh ke dalam arus," katanya. 

Seorang lagi mangsa banjir Syukri Ahmad, 40, berkata rumahnya musnah dihanyutkan arus deras banjir. 

Tetapi beliau lebih risaukan keselamatan isterinya yang mengandung lima bulan dan tiga anaknya yang berumur 3 hingga 11 tahun, dan sebab itu beliau segera memindahkan mereka ke kawasan selamat ketika air dilihat naik mendadak. 

"Lepas hantar isteri dan anak, saya pulang sendiri mahu mengemas barang. Masa sampai ke rumah, air sudah kira-kira setengah meter naik dan saya hanya kemas mana yang patut seperti dokumen penting sebelum bergegas meninggalkan kediaman ketika air naik ke paras dada. 

"Namun keesokan harinya ketika mahu meninjau keadaan rumah, rakan-rakan saya kata rumah pusaka yang saya duduki itu musnah dihanyutkan air dan saya betul-betul terkejut," kata Syukri. 

Beliau berkata kampung itu sering dilanda banjir namun tidaklah pernah seteruk kali ini sehingga beberapa buah rumah penduduk kampung lesap dibawa arus. 

Sementara itu, Norhayati Jusoh, 38, berkata beliau terpaksa memecah masuk Pejabat Pos dan tinggal di tingkat atas bangunan itu kerana tidak sempat untuk pergi ke pusat pemindahan banjir yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya. 

"Semua barang rosak dan wang tunai lebih RM10,000 hasil perniagaan jualan langsung turut hilang," katanya. 

Menurutnya, suasana di pejabat pos itu sangat menakutkan ketika itu, namun mereka terpaksa bertahan semalaman, sebelum air surut keesokannya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment