Monday 9 December 2013

'Menang penting, bukan gol'

Nay Pyi Taw: Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu terlalu dibebani harapan untuk menyamai atau melebihi kemenangan dicatat Vietnam yang membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A, kelmarin.

Mengambil kira permulaan Sukan SEA 2011 di Jakarta apabila skuadnya sekadar seri 0-0 dengan Singapura, Kim Swee mahu anak buahnya fokus memburu tiga mata penuh ke atas Brunei pada aksi pertama mereka di Stadium Zeyar Thiri, petang ini dan bukan memikirkan jumlah jaringan.


Sudah tentu kita mahu permulaan baik. Kita sedar, perlawanan pertama tidak kira berdepan pasukan mana sekali pun pasti menghadirkan kesukaran. Saya tak fikir kemenangan besar, yang mustahak tiga mata untuk keyakinan mengharungi baki tiga perlawanan.

Mengenai gol awal, Vietnam pun dapat gol pertama selepas minit ke-20 dan jika kedudukan masih 0-0 pada babak pertama, kami harus terus berusaha mendapatkan kemenangan, bukan tertekan memikirkan jumlah jaringan, kata Kim Swee ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Zeyar Thiri, petang semalam.

Agak lemah

Secara kebetulan, skuad negara turut bertemu Brunei pada aksi pembukaan Sukan SEA 2001 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dan meraih kemenangan besar 5-0 menerusi hatrik Akmal Rizal Rakhli dan masing-masing satu gol Indra Putra Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.

Ditanya adakah Vietnam terlalu kuat atau Brunei agak lemah berdasarkan kemenangan 7-0 kelmarin, Kim Swee berkata: "Kita kena faham, Brunei dah lama tak beraksi di pentas antarabangsa akibat digantung dan masih mencari rentak manakala Vietnam purata pemain yang sama sepanjang tiga tahun ini, pasti persefahaman sudah cukup baik.
Kim Swee turut masih merahsiakan gandingan serangan yang bakal dipertaruhkan, petang ini tetapi yakin sesi latihan 45 minit, petang semalam sudah memadai untuk dia menamakan kesebelasan utamanya dua jam sebelum perlawanan.

No comments:

Post a Comment